Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Sihat Bersama Unicorn Fun Run @Car Free Day Satukan Masyarakat Jaga Kesihatan

By 1 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel/Shahrul Azril Sulaiman (Kuala Kangsar)

KUALA KANGSAR, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Program Jom Sihat Bersama Unicorn Fun Run @Car Free Day hari ini dilihat berjaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam memupuk semangat menjaga kesihatan diri.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Daerah Kuala Kangsar (MPKK) Zulqarnain Mohamad, program Car Free Day pada hari ini merupakan edisi kelima dalam tempoh penganjuran oleh pihak MPKK.

“Bertemakan ‘Kome Punya Event Yop dan Yong Unicorn Fun Run’, turut mempromosikan Kuala Kangsar kepada masyarakat luar untuk datang ke daerah ini.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya kepada pihak penganjur larian demi memupuk kesedaran kesihatan dalam diri,” ujarnya ketika merasmikan program di Jalan Kangsar, di sini pagi tadi.

Peserta ceria selepas menamatkan larian sejauh lima kilometer.

Peserta ceria selepas menamatkan larian sejauh lima kilometer.

Acara Larian Unicorn Fun Run dianjurkan oleh Oriental Global Event Management dan mendapat sambutan hampir 2000 orang peserta.

Peserta, Zaidi Ahmad Zamani, 37, berasa teruja dalam penganjuran program ini.

“Program seumpama ini seharusnya diteruskan agar dapat memupuk kepentingan menjaga kesihatan diri selain memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Bagi Norasyikin Mohamad Isa, 35, yang turut menyertai acara larian juga meluahkan rasa teruja dan gembira kerana dapat merasai pengalaman menyelesaikan misi secara santai dengan pelbagai ragam peserta dapat dilihat sepanjang acara berlangsung.

“Seronok apabila melihat masyarakat pelbagai kaum yang menyertai acara pada hari ini ditambah pula dengan ragam peserta yang memakai kostum menjadikan acara ini sangat ceria dan meriah,” katanya selepas menjayakan larian sejauh lima kilometer.

Turut hadir Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, Ahmad Munir Ishak dan Setiausaha MPKK, Mohd Ikram Ahmad.

-SH

Tinggalkan komen anda