
Laporan/ Foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson) / Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)
PORT DICKSON, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Peningkatan kefahaman para pelajar dapat ditingkatkan secara holistik terhadap kursus yang diambil melalui penganjuran program berbentuk karnival yang dilihat sebagai satu medium bagi komunikasi dalam mengembangkan mesej pendidikan.
Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Port Dickson, Dr Nor Haniza Mohamad, berkata para pelajar perlu terus melibatkan diri dan berupaya dalam mengaplikasikan bahan kreatif dan positif demi manfaat reputasi diri serta komuniti setempat.
“Para peserta dibekalkan dengan mutiara motivasi sebagai tanda penghargaan di atas kejayaan menyertai karnival ini, secara tidak langsung, penganjuran karnival seperti ini turut melonjakkan prestasi pelajar dalam bidang komunikasi,” katanya ketika berucap merasmikan Program Karnival Pengajian Am Politeknik Port Dickson, di sini, Selasa lalu.
Pengarah Program Karnival Jabatan Pengajian Am, Ribhan Ibrahim, berkata karnival yang bertujuan untuk membuka peluang kepada pelajar dalam menghasilkan bahan kreatif berasaskan kursus komunikasi dan penyiaran Islam, komunikasi Bahasa Inggeris menjadi objektif utama penganjurannya.
“Para pelajar berpeluang menghasilkan bahan pertandingan berasaskan konsep komunikasi serta penyiaran Islam mengikut kreativiti mereka yang tersendiri dan mereka juga didedahkan dengan metodologi Design Thinking bagi menyemarakkan lagi minat terhadap penguasaan Bahasa Inggeris,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti dan pertandingan turut dianjurkan antaranya pertandingan e-majalah, filem pendek, poster kreatif, video bertema dan Inspire English.
Seramai lebih 215 orang pelajar telah menyertai program yang dianjurkan oleh Unit Pengajian Islam dan Unit Bahasa Inggeris, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Pot Dickson.
-AK