
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/Infografik BERNAMA
PUTRAJAYA, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi tujuan pemberian diskaun 15% ke atas bil elektrik sektor pelancongan dan 2% bagi sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah di Semenanjung Malaysia mulai 1 April 2020.
Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai tambahan kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad akan menambah peruntukan sebanyak RM530 juta lagi untuk pemberian diskaun berperingkat antara 15% hingga 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan.
“Diskaun 50% akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt, 25% bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15% bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt, diskaun ini akan berkuatkuasa bagi tempoh enam bulan mulai bil bulan April 2020 dan diskaun sebanyak 2% seperti dimaklumkan sebelum ini akan terus dinikmati oleh semua pengguna isi rumah,” katanya ketika Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi Pakej PRIHATIN, semalam.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan pakej khas bagi industri telekomunikasi dan multimedia turut ditawarkan dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi.
“Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) tamat.
“Tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan,” katanya lagi.