
Laporan/foto: Shah Hood (Johor Bahru) /UKK Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menafikan kononnya tiada langkah yang sewajarnya diambil bagi mengasingkan rakyat negara ini yang pulang dari Singapura susulan daripada keputusan kerajaan itu untuk melaksanakan tindakan Perintah Kawalan Ketat.
Menurut Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad terdapat dakwaan yang tular di media sosial dan beberapa portal menyatakan tiada langkah yang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mengasingkan rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura adalah tidak tepat.
“Bermula 3 April hingga 7 April yang lalu, secara purata seramai 1,000 warga Malaysia pulang dari Singapura setiap hari selepas negara itu mengumumkan untuk melaksanakan perintah kawalan ketat.
“Setiap yang melalui pintu masuk ke negara ini akan menjalani saringan suhu badan dan sekiranya bergejala, mereka akan diasingkan terus dan dirujuk ke hospital,” katanya pada kenyataan media, semalam.
Tambah beliau, bagi pekerja Malaysia di Singapura yang telah menjalani ujian di republik itu dan didapati negatif COVID-19, mereka dibenarkan pulang dan perlu melakukan kuarantin diri selama 14 hari di kediaman masing-masing dengan pemeriksaan berkala akan dijalankan oleh pasukan kesihatan.

Bilik Saringan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan di CIQ Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.
“Bagi yang tidak mempunyai bukti ujian negatif, mereka dibenarkan pulang ke Malaysia tetapi perlu ditempatkan di pusat-pusat kuarantin yang telah disediakan di negeri ini, sama seperti rakyat Malaysia lain yang kembali dari luar negara.
“Pemeriksaan perubatan akan dijalankan semula di pusat kuarantin yang ditetapkan bagi memastikan mereka bukan Individu Dalam Siasatan (PUI), bergejala atau tidak mempunyai penyakit kronik di mana jika mempunyai penyakit kronik mereka akan diasingkan dan dimasukkan ke hospital bagi dikuarantinkan,” katanya.
Hasni turut memaklumkan bahawa, berita yang tular di media sosial mengenai keadaan dua pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan negeri yang tidak memuaskan.
“Saya ambil maklum mengenai perkara yang tular dalam media sosial berkaitan keadaan dua pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan berada dalam keadaan tidak memuaskan.
“Untuk makluman, seramai 197 rakyat kita yang ditempatkan di dua buah pusat kuarantin berkenaan telah dipindahkan secara berperingkat ke hotel yang telah diwartakan oleh kerajaan,” katanya lagi.
-NI-