
Laporan/foto: Shameelawati Shaari/Mohd Zulfabli (Perlis)
ARAU, 25 Apr (Malaysiaaktif) – Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka untuk kegunaan anggota-anggota barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19.
Menurut Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Abdul Malek Hassan, sumbangan ini merupakan tanda sokongan moral daripada pihak akademia kepada para petugas barisan hadapan sebagai langkah perlindungan keselamatan bagi mengelakkan mereka terdedah secara langsung dengan virus ini.
“Setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab besar bersama-sama dengan kerajaan dalam membendung penularan dan memutuskan rantaian wabak ini.
“Saya amat berharap Alat Perlindungan Peribadi (PPE) yang dihasilkan dapat membantu para pejuang barisan hadapan dalam memerangi penularan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baharu-baharu ini.
Tambah beliau, salah satu PPE yang merupakan komponen penting perlindungan diri yang dipakai anggota kesihatan merupakan hasil kerja empat orang kakitangan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS iaitu Mohd Najib Ramli, Sahrijan Ahmad, Zulfabli Hassan dan Nurisah Wahab.
“Alat ini dihasilkan dengan menggunakan pencetak 3D di mana satu lapisan plastik pelindung muka yang mudah dipasang oleh pengguna sendiri turut disediakan.
“Penghasilan produk ini adalah di bawah inisiatif dan usaha daripada 3D Printing Malaysia Community For COVID-19,” ujarnya.
Abdul Malek juga memaklumkan, setakat ini PTSS telah menyumbangkan pelindung muka ini ke beberapa buah hospital dan klinik seperti Hospital Tuanku Fauziah, Hospital dan Klinik Kesihatan Kepala Batas, Pulau Pinang, Hospital Jitra, KPJ Specialist Hospital Bandar PERDA, Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Poliklinik Dr Azhar & Rakan-Rakan Cawangan Darulaman dan Mergong serta Pejabat Kesihatan Taman Botanik, Klang.
-NI-