
PUTRAJAYA, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan kes positif COVID-19 terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac, dengan 16 kes dilapor sehingga 12 tengah hari tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini adalah 6,742 kes, menjadikan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 1,410 kes.
Menurut beliau daripada jumlah kes positif baharu itu, sembilan kes adalah dalam kalangan bukan warga Malaysia.
“Daripada 16 kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat tiga kes import dilaporkan dengan 13 kes penularan tempatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.
Beliau turut berkata seramai 110 pesakit COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 5,223 kes, iaitu 77.5 peratus daripada keseluruhan kes.
Dalam pada itu, beliau berkata tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dicatat setakat hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 109.
Jelasnya, sehingga kini, seramai 16 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 11,470 sampel ujian saringan COVID-19 telah diambil terhadap anggota KKM dan daripada jumlah itu 65 dikesan positif, setakat hari ini.
Mengulas mengenai ujian saringan COVID-19 ke atas semua pesakit sebelum menjalani pembedahan kecemasan dan separa kecemasan, beliau berkata tujuh kes dikesan positif daripada 8,528 pesakit yang disaring setakat hari ini.
Dr Noor Hisham turut berkata setakat minggu ke-18 wabak itu, sebanyak 9,010 sampel diambil daripada pesakit kes Influenza Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dengan 81 sampel disahkan positif dijangkiti virus itu.
“Kes ILI mencatat 14 kes positif daripada 1,594 sampel manakala bagi kes SARI pula sebanyak 67 kes positif daripada 7,416 sampel,”katanya.
Dalam pada itu, bagi kes yang dikesan sebagai individu yang sedang disiasat (PUI), beliau berkata terdapat 95 kes positif dikesan daripada 30,155 ujian yang dijalankan di makmal swasta.
Walaupun kadar positif yang dikesan melalui aktiviti survelan menunjukkan menurun dan kekal rendah buat masa ini, beliau menyeru supaya masyarakat tidak leka dengan trend penurunan itu.
Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham turut menzahirkan penghargaan kepada semua jururawat di Malaysia bersempena Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada hari ini.
“Sambutan tahun ini bertemakan, A Voice to Lead: Nursing The World To Health, sememangnya bertepatan bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan semua jururawat yang sentiasa cekal dan tabah menghadapi cabaran penularan wabak COVID-19 di Malaysia.
“Anda adalah wira yang tidak didendang, dan KKM sentiasa menghargai jasa dan bakti anda semua,” katanya.
— BERNAMA