
Laporan/foto: Hani Amir/PMM
MERLIMAU, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mengadakan kunjungan hormat ke Klinik Kesihatan Merlimau bagi menjalinkan kerjasama erat bersama petugas hadapan selain bagi mendapatkan informasi terkini mengenai COVID-19 khususnya di daerah itu.
Menurut Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal, kerjasama antara Klinik Kesihatan Merlimau telah lama terjalin sebelum ini malah melalui kunjungan tersebut dapat membuka kembali peluang antara kedua-dua agensi menjalankan program yang berkaitan dengan kesihatan pada masa akan datang.
“Kami juga antara lain telah berbincang bagi mengadakan program yang bukan hanya berkisarkan tentang aspek kesihatan tetapi memanfaatkan kepakaran PMM seperti menawarkan penghasilkan alatan bagi projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Klinik Kesihatan,” ujarnya ketika ditemui.
Menurut Hatta, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, para pensyarah PMM turut menyumbang alat perlindungan peribadi seperti pelindung muka kepada para petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Merlimau.
“Kami turut berharap agar momentum kerjasama erat ini dapat diteruskan antara kedua-dua agensi terutamanya pada tahun akan datang apabila pandemik COVID-19 ini selesai.
“PMM sentiasa melibatkan Klinik Kesihatan dalam program-program anjurannya seperti kempen derma darah, saringan kesihatan dan pelbagai bentuk program kesihatan lain,” katanya.
-SH