Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pertambahan Jemaah Solat Jumaat di Perlis Ikut SOP

By 13 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, memperkenankan bilangan jemaah mendirikan solat fardu dan Jumaat di negeri ini, ditambah mengikut keluasan maksimum kapasiti masjid bermula Jumaat.

Menurut Imam solat Jumaat Masjid Alwi Kangar Ustaz Ismail Hashim, para jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat di masjid yang telah ditetapkan dan perlu mengikut kedudukan jarak solat yang telah disediakan oleh pihak pengurusan masjid.

“Mereka harus menyusun sejadah mengikut garisan kuning yang telah kami sediakan.

Saringan suhu badan jemaah dilaksana oleh pihak pengurusan masjid.

Saringan suhu badan jemaah dilaksana oleh pihak pengurusan masjid.

“Apabila selesai mengerjakan solat mereka tidak dibenarkan untuk bersalaman dan perlu meninggalkan masjid mengikut pintu keluar yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Masjid Alwi Kangar, semalam.

Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga turut menempatkan beberapa orang anggota mereka bagi memantau dan mengawal keadaan di masjid ini.

“Para jemaah dikehendaki mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh ahli jawatankuasa masjid seperti perlu membawa sejadah sendiri, mendaftarkan diri di hadapan pintu masjid, memakai pelitup muka dan bacaan suhu badan diambil sebelum mereka dibenarkan masuk,” katanya.

Anggota PDRM memantau pelaksanaan SOP yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan masjid.

Anggota PDRM memantau pelaksanaan SOP yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan masjid.

Seorang jemaah yang ditemui Darwis Darwisa, 62, berkata beliau sangat bersyukur kerana dapat menunaikan solat Jumaat setelah hampir tiga bulan tidak dapat menunaikannya.

“Sebaik tiba di masjid saya tidak dibenarkan masuk kerana tidak membawa sejadah, oleh itu saya kembali ke rumah untuk mengambilnya.

“Walaupun agak sukar sedikit tetapi saya memuji kesungguhan pihak pengurusan masjid ini dalam mengamalkan SOP yang telah  ditetapkan demi menjaga keselamatan para jemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakaan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan di negara ini,” ujarnya.

Ismail turut memaklumkan, tempoh maksimum bagi perlaksanaan solat Jumaat adalah selama 15 minit.
-NI-

Tinggalkan komen anda