Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Insentif PENJANA Kepada 202 Sukarelawan Khidmat Bantu di Rumah

By 12 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Mohd Rasidi Che Sa (Baling)

BALING, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 202 orang sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) Cawangan Negeri Kedah menerima bantuan dana Khas Pelan Jana Ekonomi Negara (PENJANA) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,600 untuk diagihkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata ini merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri melalui PENJANA, dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memperuntukan sebanyak RM1 juta untuk diagihkan kepada 3333 orang sukarelawan Khidmat Bantu di Rumah di seluruh Malaysia.

“Dengan adanya inisiatif seperti ini diharapkan dapat memberi galakan agar lebih ramai lagi belia mendaftar sebagai sukarelawan dan semoga dengan bantuan ini dapat meningkatkan lagi motivasi sukarelawan sedia ada di samping menggalakkan penyertaan masyarakat setempat untuk terlibat sama terutama sekali golongan muda.

“Hari ini saya hadir bagi melihat kemajuan program ini dan ini merupakan satu program pendampingan sosial kepada pelanggan-pelanggan JKM yang memerlukan khidmat sokongan sosial terutama sekali warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemimpin dan komuniti setempat,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Sungai Tembak A, Parit Panjang Baling, di sini kelmarin.

Sebahagian petugas sukarelawan bergambar kenangan bersama-sama tetamu kenamaan.

Sebahagian petugas sukarelawan bergambar kenangan bersama-sama tetamu kenamaan.

Salah seorang Sukarelawan Khidmat Bantu di Rumah Siti Zaitun Yahaya, 47, berkata minat dan simpati, terutama kepada golongan warga emas dan OKU menjadi dorongan kepada beliau untuk menyertai sukarelawan ini.

“Saya menyeru lebih ramai lagi untuk menyertai sukarelawan ini terutama sekali masyarakat setempat agar dapat meringankan beban golongan yang dibantu,” katanya ketika ditemui.

Sebanyak RM300 seorang menerima inisiatif PENJANA yang diberikan secara sekali gus kepada semua Sukarelawan Khidmat Bantu di Rumah di seluruh negara .

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan Negeri Kedah Halimaton Saadiah Saad, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Zulkifli Ismail, Pengawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah dan Pengarah Zon Utara 2 Yayasan Kebajikan Negara Zulkifli Yaakob.

-SH

Tinggalkan komen anda