Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Rakyat Digesa Bersatu Hati Pulih Pasca COVID-19 Bersama-sama – Sanusi

By 29 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Alor Setar)

ALOR SETAR, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Rakyat di negeri ini digesa untuk bersama-sama bersatu hati dalam memulihkan keadaan pasca COVID-19.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, berkata untuk ekonomi negara pulih sepenuhnya akibat gejala ini, kerjasama semua rakyat dan tempoh masa yang lama diperlukan.

“Tiga bulan berkurung di rumah, larangan rentas sempadan dan sebagainya telah menyebabkan urusan ekonomi kita terjejas teruk dan ramai yang hilang pekerjaan menyebabkan sistem sosial kita jadi porak peranda.

“Jangan berasa leceh apabila kita diminta terus pakai penutup muka atau penjarakan sosial di mana-mana dan sesungguhnya saya berasa amat bimbang apabila angka jangkitan COVID-19 ini naik semula,” katanya semasa merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang bagi tahun 2020 Peringkat Negeri Kedah, di sini semalam.

Penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua- ketua jabatan turut dilakukan pada majlis pelancaran semalam.

Penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua- ketua jabatan turut dilakukan pada majlis pelancaran semalam.

Sanusi turut berharap kepada penjawat awam negeri ini untuk mendidik diri menjadi penjawat awam yang berprinsip, berpegang teguh pada nilai moral, berintegriti dan bermaruah.

“Jangan sekali-kali menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang dipinjamkan kepada kita untuk kepentingan diri sendiri dan sebagai kakitangan awam, tunjukkan sikap kita yang patuh sebagai teladan kepada masyarakat.

“Justeru, apa yang diperlukan daripada kerajaan dalam kerangka yang berkepentingan awam itulah agenda kita. Jangan apabila kita berada dalam kerajaan, sama ada sebagai ahli politik, kita mencari ruang untuk menyelitkan agenda secara peribadi dan ini harus dielakkan kerana perbuatan ini telah melanggar amanah sebagai seorang manusia mahupun penjawat awam yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi menyeru kepada semua rakyat negeri untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan juga kenderaan sebagai tanda lambang kebanggaan terhadap tanah air tercinta.

-SH

Tinggalkan komen anda