Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Hanya Lima Minit Larikan Kereta Mewah

By 30 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Pasukan polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah yang bergiat aktif sejak awal tahun ini di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hasil risikan pihaknya berjaya menangkap tujuh lelaki Cina dan dua lelaki Melayu berusia 32 hingga 66 tahun pada 23 Julai lalu hingga semalam.

“Sasaran kumpulan ini adalah rumah-rumah yang mempunyai kereta mewah dengan melakukan pecah rumah dan melarikan kereta sasaran.

“Mereka menggunakan peranti iaitu ‘Universal Auto Key Programmer’ untuk menggodam sistem kunci kereta sasaran, seterusnya mengaktifkan ‘jammer’bagi menghidupkan kereta serta menyah aktif Sistem Navigasi Satelit (GPS) dan penggera.

“Peranti tersebut dibeli secara atas talian dari luar negara dan kumpulan ini hanya memerlukan tiga hingga lima minit sahaja untuk melarikan kereta-kereta mewah berkenaan,” katanya semasa sidang media di IPD Gombak, Jalan Bukit Idaman hari ini.

Arifai (kanan) menunjukkan kereta mewah yang dicuri Geng Ah Yong menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Arifai (kanan) menunjukkan kereta mewah yang dicuri Geng Ah Yong menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, kumpulan ini diketuai seorang lelaki yang dikenali sebagai Ah Yong yang berusia 30-an dan lapan daripada suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah serta curi kenderaan.

“Geng Ah Yong ini mencuri kenderaan mewah dan lain-lain jenis kenderaan yang mendapat permintaan tinggi daripada pembeli dan ada kemungkinan dijual ke luar negara.

“Polis percaya dengan tertangkapnya suspek-supek termasuk ketua kumpulan, ianya dapat menyelesaikan 19 kes melibatkan jenayah curi kereta mewah di Gombak, Damansara, Kuala Selangor, Sungai Buloh, Sentul dan Segamat.

“Lima suspek direman bermula 24 Julai lalu sementara enam orang suspek bermula semalam yang semuanya akan berakhir 30 Julai ini dan pihak polis masih memburu saki baki ahli kumpulan ini,” jelasnya.

Arifai menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada serta menjaga harta benda dengan tidak memberi peluang dan ruang kepada penjenayah seperti menambah kunci stereng dan pedal minyak.

-NAZ

Tinggalkan komen anda