Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Polis Mohon Bantuan Masyarakat Kenal Pasti Mayat Tanpa Identiti

By 30 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan satu mayat wanita di kawasan terbiar (ladang kelapa sawit) berhampiran Kelab Golf Tasik Puteri, 20 Julai lalu, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata mayat tanpa identiti berkenaan dijumpai sekitar jam 6 petang, hasil maklumat orang ramai.

“Sehingga kini, identiti mangsa masih belum dapat dikenalpasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri, berusia dalam lingkungan 40-an.

“Ketika ditemui, mayat berkenaan lengkap berpakaian baju dan seluar jeans serta memakai singlet berwarna putih.

“Tiada senjata ditemui di tempat kejadian dan dipercayai wanita tersebut dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi berkenaan,” katanya semasa siding media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini.

Katanya, polis menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat untuk tampil di balai-balai polis yang berhampiran atau menghubungi IPD Gombak di talian 03-61262222.

Mayat seorang wanita tanpa sebarang identiti ditemui di kawasan terbiar berhampiran Kelab Golf Tasik Puteri, baru-baru ini.

Mayat seorang wanita tanpa sebarang identiti ditemui di kawasan terbiar berhampiran Kelab Golf Tasik Puteri, baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis menemui mayat seorang wanita tanpa sebarang pengenalan diri di sebuah kawasan terbiar berhampiran Kelab Golf Tasik Puteri.

Berdasarkan keadaan mayat, dipercayai mangsa telah meninggal dunia lebih 48 jam sebelum ditemui.

Siasatan polis dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-NAZ

Tinggalkan komen anda