
Laporan/foto : Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Norfazila Ahmad (Politeknik Nilai)
BANDAR ENSTEK, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Sesi pendaftaran pelajar baharu Politeknik Nilai, Negeri Sembilan (PNS) bagi kemasukan sesi Jun 2020 berlangsung dengan lancar.
Pengarah Program Majlis Suaikenal (MSK) Sesi Jun 2020 PNS, Mohd Khairil Zainal Bahrin, berkata pihaknya melaksanakan sesi pendaftaran dengan cara berbeza dari tahun sebelumnya disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.
“Pendaftaran kali ini berbeza daripada sesi-sesi sebelumnya kerana ia dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan pihak MSK memastikan para pelajar untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ditemui semasa pendaftaran pelajar di Dewan Seri Putra, PNS, di sini.
Tambah Khairil lagi, seramai 422 orang pelajar baharu telah mendaftarkan diri dan mereka diwajibkan untuk memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal bagi mengekang dan melindungi diri daripada virus COVID-19.
“Pendaftaran asrama juga turut dilaksanakan secara berperingkat mengikut program-program yang ditawarkan di PNS,” ujar beliau.
Sementara itu, semua pelajar akan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari selepas sesi MSK yang mana mereka perlu berada di asrama masing-masing sehingga tempoh kuarantin selesai.
-AK