Skip to main content
Berita TempatanMASelangor

Merdeka@Komuniti Platform Hargai Barisan Hadapan

By 15 September 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SUNGAI BULOH, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Program Merdeka@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Selangor adalah salah satu usaha murni pihak kerajaan menghargai barisan hadapan.

Panglima Briged Ke-11 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Norsham Md Tap, berkata melalui program berkenaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat mendekatkan diri dengan masyarakat.

“Markas Briged Ke-11 Infantri kini perlu memastikan sentiasa dekat dengan masyarakat namun pada masa yang sama tegas memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan aman dan berdaulat.

“ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan mengharapkan pujian daripada masyarakat tetapi yang lebih utama tugas kami dapat dijalankan dengan baik dan masyarakat patuh arahan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata peranan dan tugas antara agensi sememangnya berlainan, namun matlamatnya sama untuk keselamatan, kebahagiaan dan keharmonian rakyat.

“Apabila negara dikejutkan dengan penularan COVID-19, bukan ATM dan PDRM sahaja memainkan peranan tetapi semua agensi diarahkan bekerjasama.

“Sebenarnya sumbangan ‘military’ kecil sahaja berbanding agensi-agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mereka yang bertugas di sebalik tabir.

“Mereka tidak bekerja di lapangan seperti ATM dan PDRM tetapi bekerja di pejabat, makmal, bilik gerakan dan sebagainya,” jelasnya.

Norsham berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Merdeka@Komuniti bersama Briged ke-11, Infantri Malaysia Kem Sungai Buloh di Dewan Jubli Perak PERHEBAT di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Syafa’aton Abu Bakar dan Pengarah JaPen Selangor, Ali Suhaili.

Sementara itu, Ali berkata JaPen Selangor melaksanakan 66 Program Merdeka@Komuniti seluruh negeri pada tahun ini.

Pengunjung program Merdeka@Komuniti melihat pameran ATM di Briged Ke-11 Infantri Malaysia, Sungai Buloh hari ini.

Pengunjung program Merdeka@Komuniti melihat pameran ATM di Briged Ke-11 Infantri Malaysia, Sungai Buloh hari ini.

“Program ini merupakan program turun padang dan sesi engagement mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan disamping menyediakan perkhidmatan berupa ‘one stop centre’ kepada pengunjung.

“Pelaksanaan kali ini lebih menfokuskan penghargaan kepada barisan hadapan terutama ATM sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.

“Program ini membuka jalan untuk Briged Infantri di Malaysia mendekatkan diri dengan agensi awam yang lain.

“Ianya dapat memberi pendedahan kepada orang ramai untuk mendekati ATM dan mengenang kembali jasa dan pengorbanan mereka mempertahankan negara tercinta,” katanya.

Menurutnya, antara pengisian program seperti pameran aset ketenteraan dan 10 agensi lain disamping pertandingan Bintang Patriotik 2020.

Selain itu, JaPen Selangor turut menghargai 12 wakil agensi barisan hadapan dan 10 orang Anak Malaysia yang lahir pada 16 September.

Tinggalkan komen anda