
Laporan/foto: Adawiyah Othman (Marang)
MARANG, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Destinasi Ikan Bakar Unik merupakan usaha terbaharu yang akan direalisasikan di Pantai Pulau Kekabu, di sini dengan menampilkan kelainan dalam penyediaan ikan bakar iaitu pengunjung boleh memilih dan membakar sendiri ikan bakar tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu Ariffin Deraman, berkata nelayan-nelayan tempatan akan turun ke laut dan membawa pulang ikan segar untuk dijadikan santapan oleh pengunjung yang mana setiap pilihan pastinya tidak akan mengecewakan kerana sudah pasti ikan-ikan tersebut masih segar selain kepuasan para pengunjung boleh menyediakan sendiri hidangan ikan bakar mereka mengikut cita rasa masing-masing.

Ariffin (kiri) menyambut kepulangan nelayan sebagai simbolik acara mingguan “Nelayan Pulang ke Darat” sepanjang Jejak Budaya Marang (JBM) 2020 berlangsung.
“Saya pasti cadangan ini boleh memberi manfaat yang besar kepada penduduk setempat selain mengembangkan ekonomi sekaligus menaikkan nama Marang dalam industri pelancongan domestik yang sudah sedia terkenal dengan Pulau Kapas.
“Kelainan ini dibuat bagi memastikan destinasi ‘Ikan Bakar Unik Pantai Pulau Kekabu’ menjadi perhatian dan tumpuan orang ramai di sekitar Marang mahupun di seluruh Negeri Terengganu,” katanya ketika merasmikan program Jejak Budaya Marang 2020 di Pantai Pulau kekabu di sini, baru-baru ini.

Pelbagai alatan muzik, kesenian dan kebudayaan tradisional Negeri Terengganu diperkenalkan secara meluas untuk generasi baharu menghargai keistimewaan tersendiri.
Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak turut menjelaskan program Jejak Budaya Marang 2020 ini adalah hasil inisiatif selepas melihat keperluan menganjurkan program yang boleh menggantikan Pekan Budaya bagi memastikan acara tahunan ini tidak mati kerana kekangan dan halangan akibat COVID-19 selain menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan fizikal dengan merangka banyak lokasi dalam tempoh program ini berlangsung.
“Bagi mengekang orang ramai berkumpul setempat seperti sebelum ini yang dikhuatiri boleh melanggar SOP PKPP, Jejak Budaya Marang telah dibahagikan lokasi-lokasinya dengan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai seperti Night Fishing D’Merchangku dan Night Fishing @ Jenang, Pertandingan Wau ‘Comey’ yang mengembalikan tradisi permainan wau tradisional dalam kalangan komuniti di Marang, acara dikir barat mingguan di beberapa lokasi serta persembahan hujung minggu kesenian dan kebudayaan yang terdapat di Marang yang turut diselit dengan aktiviti nelayan pulang ke darat dan bakar ikan secara langsung.

Santai-santai bakar ikan juga dijadikan acara hujung minggu di beberapa lokasi berlangsungnya Jejak Budaya Marang 2020.
“Konsep baharu ini pasti boleh menarik minat komuniti setempat dan seluruh negeri ditambah lagi dengan promosi dan hebahan meluas yang telah dilaksanakan oleh banyak pihak yang terlibat,” katanya.
Program Jejak Budaya Marang 2020 mula dilaksanakan pada 17 September 2020 dengan acara pertama, dikir barat di Kampung Banggol Pak Ali oleh kumpulan pendikir satu-satunya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat iaitu Kumpulan Dikir Barat Sri Pahlawan.

Destinasi Ikan Bakar Unik merupakan usaha terbaharu yang akan direalisasikan di Pantai Pulau Kekabu, Marang dengan menampilkan kelainan dalam penyediaan ikan bakar iaitu pengunjung boleh memilih dan membakar sendiri ikan bakar.
Persembahan ini akan diteruskan secara mingguan sehingga Jejak Budaya Marang 2020 melabuhkan tirainya pada 11 Oktober 2020 nanti.
-ii-