Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Amalan Norma Baharu Menjiwai Semangat Patriotik Rakyat Malaysia

By 21 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sufian Kamarudin/Anuar Che Amat (Perlis) 

SANGLANG, 21 Sept (Malaysiaaktif) – Walaupun sambutan pada tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya berikutan penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, ia bukan menjadi penghalang bagi rakyat menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dalam suasana yang meriah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang Mohd Shukri Ramli, rakyat perlu terus menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia walaupun dalam suasana negara berdepan dengan COVID-19 dan pembudayaan norma baharu.

“Penularan wabak ini telah memberi impak kepada kesihatan awam, sektor pekerjaan, perniagaan, ekonomi negara, persekolahan, pengajian tinggi dan aktiviti keagamaan namun ia tidak akan sesekali melunturkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat bagi mengenang detik kemerdekaan negara.

“Kerajaan telah berusaha untuk membantu rakyat dengan pemberian inisatif menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara di mana rakyat telah mendapat pelbagai manfaat dari pemulihan ekonomi yang dijalankan,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup program Merdeka@Komuniti Kampung Simpang Sanglang, semalam.

Shukri turut menyeru rakyat untuk bersama-sama berganding bahu menggalas tanggungjawab bersama dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan sentiasa mengamalkan pembudayaan norma baharu.

Penolong Pengarah Penerangan Perlis Mohd Nor Hidayat berkata pada tahun ini, Malaysia Prihatin  dipilih menjadi tema sambutan Hari Kebangsaan yang membawa makna yang mendalam kepada rakyat Malaysia dan negara ketika kita masih berdepan pandemik COVID-19.

“Walaupun hanya gabungan dua patah perkataan, tetapi ia sudah cukup menggambarkan kebersamaan seluruh rakyat Malaysia dalam memerangi wabak ini dan keprihatinan kerajaan yang melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi serta kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat dalam tempoh yang sukar ini,”ujarnya lagi.

Pada program anjuran bersama Jabatan Penerangan Perlis, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis turut diadakan, aktiviti ziarah kasih, pertandingan aspek wanita, pertandingan mewarna dan pertandingan basikal berhias.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intgrasi Nasional Perlis Nor Shafawati Mohd Ismail.

-NI-

Tinggalkan komen anda