
Laporan/foto: Salina Hasan @ Abd Rashid (Alor Gajah)/ Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah
MELAKA, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Peningkatan bilangan kes sebanyak 39.50 peratus iaitu 314 kes pada tahun 2020 berbanding 225 kes pada tahun 2019 menggambarkan masyarakat masih kurang kesedaran mengenai bahaya wabak denggi.
Menurut Pegawai Daerah dan Tanah Alor Gajah Rahizi Ranom, masyarakat setempat diseru agar membersihkan kawasan sekitar rumah secara berkala supaya bebas dari menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) amat penting dalam memastikan kawasan seliaan masing-masing mengadakan gotong-royong secara kerap terutama pada musim hujan,” ujar beliau ketika ditemu ramah selepas Mesyuarat Petugas Khas Denggi di Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah baru-baru ini.
Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Unit Vektor), Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah Yusni Hashim, berkata pelbagai isu menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes, antaranya ialah premis kotor, pengumpulan bekas-bekas menakung air di luar premis, masalah kawasan belakang perumahan taman dan isu sampah awam di lereng bukit bahu jalan.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Unit Vektor), Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah, Yusni Hashim.
“Pejabat Kesihatan Daerah telah mengambil langkah-langkah pencegahan bagi membendung perkara ini seperti menjalankan semburan fogging, pemeriksaan premis dan juga bekerjsama dengan Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah mengadakan hebahan di lokaliti yang disenaraikan mempunyai bilangan kes yang tinggi,” ujarnya.
Mengikut rekod prestasi Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah, bagi tempoh bermula Januari hingga September 2020, sebanyak 361 kompaun telah dikeluarkan ke atas premis dalam daerah Alor Gajah.
-KN