
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PDRM
GOMBAK, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Pelakon wanita bersama rakannya ditahan selepas disyaki melanggar prosedur Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana rentas negeri tanpa kebenaran pihak polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kedua-dua wanita berkenaan dikesan melakukan kesalahan tersebut ketika melakukan aktiviti berbasikal pada 18 Oktober lalu.
Katanya, wanita berkenaan telah mengemas kini status di aplikasi Instagram ketika berada di Genting Sempah dengan memuat naik gambar swafoto sedang berbasikal bersama rakan.
“Pelakon berkenaan meletakkan kenderaan di sebuah restoran berhampiran Hospital Orang Asli Gombak sekitar jam 8.30 pagi pada 18 Oktober lalu, sebelum memulakan kayuhan dari Jalan Gombak Lama ke Genting Sempah.
“Setelah berbasikal lebih kurang 10 kilometer, mereka telah berpatah balik ke kenderaan dan seterusnya bergerak ke Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mereka telah ditangkap dan diambil keterangan jam 8 malam tadi sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan / 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 (Akta 342) / Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPB) No8 2020.
“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur PKPB yang dikuatkuasakan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.
-NAZ