Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Dua Lelaki Ditahan Disyaki Pukul, Lakukan Pemerasan Wang

By 23 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Dua lelaki masing-masing seorang warga asing dan tempatan ditahan polis kerana disyaki terlibat mencederakan orang dan melakukan pemerasan wang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kedua-dua suspek masing-masing ditahan di Kota Damansara dan Puchong, Selasa lepas dan semalam.

Beliau berkata suspek pertama merupakan warga asing berusia 32 tahun ditahan di sebuah kondominium di Kota Damansara pada kira-kira 10.05 malam dan polis juga merampas dua telefon bimbit, sebuah kenderaan dan pelbagai barang lain.

“Hasil soal siasat ke atas suspek pertama membawa penahanan suspek kedua, seorang warga tempatan berusia 35 tahun kira-kira 2.10 pagi di sebuah rumah di Puchong selain merampas telefon, sebotol semburan pemedih mata, sebatang t-baton dan pelbagai barang lain.

“Suspek pertama didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah lampau antaranya berkaitan curi kenderaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam mencederakan orang dan pemerasan wang terhadap seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an iaitu seorang pelajar sebuah institut pengajian tinggi swasta 6 Okt lepas.

Nik Ezanee berkata dalam kejadian pada 8.45 malam itu, mangsa berada di kawasan parkir kondominiumnya di Kota Damansara, di sini, didatangi seorang lelaki warga asing yang dikenalinya bersama-sama dua lagi lelaki.

“Seorang daripada suspek telah menarik mangsa masuk ke dalam sebuah kereta dan memukulnya di bahagian muka dengan objek menyerupai sepucuk pistol serta memintanya bayaran RM10,000 dalam tempoh sebulan sekiranya tidak mahu dirinya diculik,” katanya.

Beliau berkata akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian atas kiri dan kanan kening, bahagian bawah mata serta bahagian hidung.

“Pihak polis masih dalam usaha untuk mengesan dan menangkap seorang lagi lelaki warga tempatan yang masih bebas iaitu M. Kugan yang dikenali sebagai Sivam, 43, bernombor kad pengenalan 861217-02-5423 dan beralamat di Nombor 49, Jalan TK 3/15, Seksyen 3 Taman Kinrara Batu 8, Puchong, Selangor,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan manusia menggunakan senjata dan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda