
PUTRAJAYA, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki melakukan ugutan jenayah di kawasan Pangsapuri Flora Damansara, Petaling Jaya semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada seorang warga tempatan berumur 38 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan tersebut.
“Lelaki warga asing itu telah mengganggu penduduk di kawasan pangsapuri berkenaan serta menyerang dan cuba memukul pengadu menggunakan senjata tajam namun pengadu sempat merampas senjata yang dipegangnya,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata selepas menerima maklumat mengenai kejadian tersebut, polis telah bertindak menahan suspek yang berumur 40 tahun itu.
Ku Mashariman berkata polis turut merampas sebatang besi serta rantai yang digunakan semasa kejadian.
Katanya suspek direman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
— BERNAMA