
PUTRAJAYA, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan para pelabur teknologi dari Jepun di Malaysia pada Rabu mengadakan sesi perbincangan meja bulat maya bagi meningkatkan keyakinan pelaburan digital negara.
Menurut MDEC dalam satu kenyataan hari ini, siri perbincangan pertama itu adalah sebahagian daripada rancangan penglibatan para pelabur untuk mengukuhkan lagi keyakinan para pelabur dan mencergaskan semula pelaburan antarabangsa dengan menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi dan digital yang menarik.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mengetuai delegasi Malaysia manakala para pelabur Jepun diketuai oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka.
Beliau menzahirkan harapannya untuk ‘kizuna’ yang lebih erat, iaitu konsep persahabatan dalam bahasa Jepun, bersama syarikat teknologi Jepun bagi memacu ekonomi digital Malaysia dan mengukuhkan kerjasama menang-menang Malaysia-Jepun.
“Ini adalah sebahagian inisiatif MDEC dalam mewujudkan persekitaran mesra-pelabur bagi memudahkan pelaburan langsung asing, memudahkan kemasukan perniagaan ke Malaysia dan menyokong pengembangan mereka.
“Kerajaan yakin bahawa Malaysia adalah destinasi yang sesuai untuk pelabur Jepun, terutama dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara yang telah membantu Malaysia beralih kepada ekonomi berinovatif dan berasaskan pengetahuan di samping mengukuhkan tulang belakang ekonomi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, naib presiden pelaburan MDEC Hew Wee Choong, berkata perbualan secara maya itu sejajar dengan matlamat MDEC untuk mendorong inovasi digital berterusan dan pengembangan pekerja berkemahiran digital.
“Sesi perbincangan maya itu satu platform yang sangat baik untuk memahami dengan lebih baik kepentingan Jepun dan berkongsi potensi peluang pelaburan digital di Malaysia.
“Kita melihat syarikat teknologi Jepun sangat berminat untuk melabur dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital terutama dalam teknologi internet pelbagai benda, awan, kecerdasan buatan dan keselamatan siber dengan memanfaatkan ekosistem teknologi digital Malaysia dalam sektor pembangunan teknologi,” katanya.
— BERNAMA