
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/TLDM
PUTRAJAYA, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Cubaan menyeludup burung murai dari Indonesia berjaya dipatahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Ramunia, Johor, tengah malam tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, TLDM mengatur gerak lima bot pemintas dan sebuah bot Pasukan Polis Marin bagi memperketatkan pemantauan di sekitar Teluk Ramunia, Johor setelah menerima maklumat daripada Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) yang mengesan satu kontak mencurigakan menuju ke perairan Teluk Ramunia.
“Salah satu bot TLDM telah menahan seorang tekong warganegara Indonesia dipercayai penyeludup dan sebuah bot tanpa permit dan dokumen yang sah pada 12.22 tengah malam.
“Pemeriksaan menyeluruh di dalam bot tersebut menjumpai 45 bekas mengandungi muatan berisi hidupan dipercayai burung murai,” menurut kenyataan tersebut.
TLDM menjelaskan bot penyeludup serta barang rampasan telah diserahkan kepada Pasukan Polis Marin untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan bernilai sebanyak RM180,409.00 yang melibatkan 450 ekor burung murai bernilai RM165,409, sebuah bot fiber bernilai RM5,000 dan sebuah enjin sangkut bernilai RM10,000.
“Penyeludup ditahan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Sungai Mas untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.
-SH