
Laporan/foto: Haliza Mohd Taib (Muar)
MUAR, 21 Dis (Malaysiaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Mazlan Bujang, menyantuni lima beradik yatim piatu bagi menyampaikan bantuan daripada kerajaan negeri.
Menurut Mazlan Bujang, kerajaan negeri akan cuba menyalurkan bantuan kepada keluarga ini mengikut keperluan semasa mereka terutama dari aspek pendidikan.
“Kerajaan negeri telah berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar dapat meneruskan bantuan RM100 yang diterima oleh arwah ibu anak-anak ini dan JKM serta Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) akan memberikan bantuan bersesuaian kepada lima beradik ini,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Batu 16 Ayer Hitam, di sini baru-baru ini.
Mazlan memaklumkan, nasib anak-anak ini dalam bidang pendidikan yang sebelum ini terhenti akibat kehilangan ibu akan diteruskan dan dibantu oleh beberapa agensi bagi memastikan pengajian mereka dapat diteruskan.
“Nur Shyafika Amira (26), anak sulung keluarga ini merupakan seorang pemegang Diploma Akauntansi daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat dan mendapat tawaran pengajian ke peringkat ijazah di UiTM Shah Alam namun terpaksa menolak tawaran tersebut kerana bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat swasta di Muar bagi menampung perbelanjaan keluarga.
“Nur Shyafika akan terus menyambung pengajian peringkat ijazah secara pendidikan jarak jauh (PJJ) dan perbelanjaan ditanggung oleh pihak UiTM sendiri dan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) turut menawarkan bantuan biasiswa kepadanya.
“Manakala Nur Diana Kamaruzain (20), Nur Nasha Kamaruzain (19) dan Nur Siti Aisyah Kamaruzain (9) akan terus dibantu dalam aspek pendidikan oleh institusi masing-masing sehingga mereka tamat pengajian,” katanya.
Nasib anak kedua, Nur Syahirah Najihah Kamaruzain, 25, turut akan dibantu meskipun sudah tidak berminat untuk melanjutkan pengajian setelah berhenti daripada pengajiannya untuk menjaga arwah ibunya yang sakit.
“Nur Syahirah nekad untuk bekerja sambil menjaga adik bongsunya. Beliau yang mempunyai kelebihan kemahiran menjahit pakaian akan dibantu Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim Daerah Segamat dan JKM dengan mendapatkan peralatan menjahit seperti mesin jahit dan mesin jahit tepi,” katanya lagi.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut, Naib Canselor Kolej Universiti KPJ Healthcare Prof. Datuk Dr. Lokman Saim, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Johor Prof. Madya Dr. Zamali Tarmudi, Pengurus Kanan Bantuan Pendidikan Yayasan Pelajaran Mohamad Zeen Watak, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Muar Puniran Denan dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Naning Mohidin Kandani.
-NI