Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kanak-kanak OKU Meninggal Dipercayai Mangsa Dera

By 6 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Polis menahan enam suspek susulan kematian seorang kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa dera ahli keluarganya dalam kejadian di Gombak pada 30 Disember lalu.

Mangsa berusia lima tahun mengidap penyakit ‘hydrocephalus’ atau lebihan cecair dalam otak dan pernah menjalani pembedahan kepala serta dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kerana tidak mampu berjalan atau berdiri.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata ibu saudara mangsa kemudian menghubungi pihak hospital yang kemudian datang dan mengesahkan mangsa meninggal dunia dan telah membuat laporan polis.

“Awalnya dikategorikan sebagai kematian mengejut selepas dikatakan sakit perut dan muntah-muntah sebelum tidak sedarkan diri.

“Setelah dirujuk kepada pihak hospital untuk diadakan bedah siasat pada 1 Januari, hasilnya didapati sebab kematian kanak-kanak ini disebabkan usus pecah atau bocor.

“Susulan tersebut pihak polis membuat tangkapan terhadap enam suspek berusia 24 hingga 55 tahun termasuk nenek saudara dan bapa kandung mangsa,” katanya semasa sidang media di Balai Polis Rawang, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendedahkan berlaku penderaan terhadap kanak-kanak malang tersebut dengan menggunakan pelbagai objek seperti rotan.

“Ibu bapa mangsa telah berpisah pada 2017 dan sejak itu dijaga oleh nenek saudaranya yang tinggal bersama bapa dan ahli keluarga lain.

“Pada mulanya kita tidak mencurigai kesan rotan berkenaan kerana menganggap kesan tersebut mungkin disebabkan mengengsot, calar atau terjatuh.

“Siasatan lanjut turut mendedahkan nenek saudara mangsa disyaki sebagai suspek utama telah menggunakan ubat nyamuk yang dibakar untuk mencucuh bahagian badan dan menyepak perut mangsa,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman selama enam hari sehingga 7 Januari ini.

-NAZ

Tinggalkan komen anda