Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Ungka Diambil Balik atas Perintah Mahkamah

By 8 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/PERHILITAN

PUTRAJAYA, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah menjalankan operasi untuk mengambil balik enam ekor ungka dan seekor lotong cengkong yang disimpan aktivis hidupan liar Mariani Ramli.

Menurut kenyataan daripada jabatan tersebut, tindakan itu dilakukan berdasarkan kepada Perintah Mahkamah Rayuan pada 16 November 2020 yang membatalkan Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai 2019.

“Mahkamah Rayuan memutuskan Mariani Ramli tidak mempunyai hak untuk menyimpan semua hidupan liar tersebut kerana tidak mempunyai Permit Khas, manakala permohonan beliau bagi menubuhkan pusat konservasi dan rehabilitasi pula tidak diluluskan kerana tiada peruntukan bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

“Kesemua enam ekor ungka telah berjaya diambil dan dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) dengan selamat untuk dikuarantin selama 30 hari,” menurut kenyataan itu.

Jabatan tersebut turut menafikan dakwaan bahawa ada ungka yang terlepas, tercedera dan mati semasa proses pemindahan kerana semua ungka kini berada dalam keadaan baik dan selamat di NWRC.

“Jabatan PERHILITAN menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi ke atas operasi yang telah dijalankan kerana ia adalah selaras dengan perundangan yang berkuatkuasa demi menjaga kebajikan hidupan liar di negara ini,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda