Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

HELWA, PUSPANITA Bantu Sebar Maklumat Terus Kepada Komuniti

By 8 Januari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Hal Ehwal Wanita (HELWA) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Daerah Segamat dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PERKESO Cawangan Segamat telah menganjurkan Program Senario Dadah dan Ancaman Kepada Perlencongan Sosial serta Prihatin PERKESO.

Menurut Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali, HELWA dan PUSPANITA merupakan pertubuhan yang sangat proaktif sepanjang tahun 2020 walaupun negara sedang menghadapi pandemik COVID-19 dan telah berjaya menganjurkan program ceramah bersama Ustaz Syamsul Debat.

“HELWA dan PUSPANITA telah banyak menyalurkan bantuan kepada para petugas barisan hadapan serta menyediakan food basket kepada ahli-ahli persatuan yang terkesan dengan COVID-19,” katanya ketika merasmikan Program Senario Dadah dan Ancaman Kepada Perlencongan Sosial serta Prihatin PERKESO, di sini baru-baru ini.

Tambah Nasri, program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam dan masyarakat tentang ancaman dadah serta faedah yang bakal diterima dari PERKESO.

“Penjawat awam dan komuniti perlu peka dan memainkan peranan masing-masing dalam membantu AADK bagi membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan kita.

HELWA dan PUSPANITA merupakan pertubuhan yang sangat proaktif sepanjang tahun 2020 walaupun negara sedang menghadapi pandemik COVID-19 - Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali

HELWA dan PUSPANITA merupakan pertubuhan yang sangat proaktif sepanjang tahun 2020 walaupun negara sedang menghadapi pandemik COVID-19 – Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali

“Setiap lapisan masyarakat perlu sentiasa berganding bahu membantu pihak AADK dalam menghentikan gejala penyalahgunaan dadah.

“Kes penyalahgunaan dadah boleh berlaku dan bermula di mana-mana sahaja, komuniti setempat boleh memainkan peranan melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan mereka,” ujarnya.

Nasri berkata, gejala negatif ini bukan sahaja merugikan individu itu, malah memberi kesan tidak baik kepada negara.

“Pada masa ini, ramai yang terkesan dan hilang pekerjaan disebabkan pandemik COVID-19 namun begitu masih ramai yang tidak mengetahui tentang faedah dan bantuan dari pihak PERKESO bagi meringankan beban mereka.

“Saya berharap dengan perkongsian maklumat oleh Pegawai PERKESO pada hari ini dapat membantu kita untuk berkongsi dan menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih kepada ahli keluarga dan masyarakat setempat tentang faedah dan bantuan yang ditawarkan oleh pihak PERKESO,” ujarnya lagi.

Seorang ahli PUSPANITA, Nor Zaliha Saifoddin, 37, berkata beliau amat teruja dengan penganjuran program pada kali ini yang turut melibatkan agensi-agensi seperti AADK dan PERKESO.

“Banyak maklumat yang telah saya perolehi sepanjang sesi ceramah ini.

“Maklumat-maklumat yang dikongsi oleh para penceramah akan disalurkan kepada ahli-ahli PUSPANITA yang lain di peringkat akar umbi,” katanya.

Seorang penjawat awam yang ditemui, Wan Nurulhuda Wan Ismail, 36, berkata program seumpama ini merupakan platform terbaik untuk memastikan maklumat-maklumat yang terkini dan sahih sampai kepada golongan sasar.

“Program seumpama ini dapat memberi input yang lebih jelas tentang dadah dan juga manfaat serta bantuan dari pihak PERKESO.

“Banyak kelebihan yang bakal diterima oleh pencarum di antaranya jika pencarum meninggal dunia, faedah akan diberi kepada isteri dan anak-anak yang secara tidak langsung dapat mengurangkan beban tanggungan keluarga yang ditinggalkan,” katanya lagi.

Turut hadir, Pengerusi HELWA dan PUSPANITA Cawangan Daerah Segamat Suzana Zainuddin, Pentadbir Tanah Segamat Mohd Helmi Datuk Sha’ri, Ketua Polis Daerah Segamat Supt. Raub Selamat, dan Yang Dipertua Majlis Daerah Labis Rudy Rizal Mohd Hanapi.

-NI-

Tinggalkan komen anda