Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Hasrat Miliki Rumah Selesa Tercapai

By 12 Januari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Ali Imran Johari (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Hasrat memiliki rumah kediaman yang lebih selesa akhirnya tercapai apabila Sukri Nawang, 53, dari Kampung Sungai Ikan, Tepuh di sini menerima kunci rumah baharu melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) Parlimen Kuala Nerus.

Menurut Sukri, beliau terkejut dan teruja apabila dihubungi oleh kakitangan dari Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN), Tepuh mengatakan bahawa permohonan beliau untuk mendapatkan kediaman baharu telah diluluskan Julai tahun lalu.

Katanya, beliau sebelum ini telah mengeluarkan kos hampir RM2,000 untuk membina kediaman sendiri ditapak berkenaan, tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana tidak mampu lagi untuk meneruskan pembinaan akibat pendapatan seharian yang tidak mencukupi.

Sukri Nawang, memegang replika kunci kediaman baharu dan berasa sangat teruja untuk berpindah segera.

Sukri Nawang, memegang replika kunci kediaman baharu dan berasa sangat teruja untuk berpindah segera.

“Adalah terlalu sukar buat saya untuk meneruskan pembinaan rumah itu kerana masalah kewangan berikutan saya hanya menoreh getah dan menjadi tukang rumah sambilan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Beliau berkata sebelum ini pernah cuba membeli barang-barang membuat rumah seperti batu-bata, simen dan sebagainya dengan hasil simpanan sendiri bagaimanapun tidak berjaya untuk meneruskan pembinaan rumah kerana kekurangan wang.

Rumah lama Sukri yang terbengkalai dan tidak dapat disiapkan kerana kekangan kewangan. (Kediaman Baharu bersebelahan dengan kediaman terbengkalai berkenaan).

Rumah lama Sukri yang terbengkalai dan tidak dapat disiapkan kerana kekangan kewangan. (Kediaman baharu bersebelahan dengan kediaman terbengkalai berkenaan).

Tambahnya, beliau mengambil keputusan untuk memohon bagi mendapatkan rumah baharu melalui projek berkenaan dan tidak menyangka permohonannya telah diluluskan dengan kadar yang cepat,” katanya.

Seorang lagi penerima, Mohd Zamdi Ali, 45, dari Kampung Bukit Tok Beng dekat sini berkata, hajat beliau untuk mendapatkan rumah baharu akhirnya tercapai apabila permohonan berkenaan diluluskan oleh kerajaan.

Katanya, beliau memohon untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa kerana perlu menjaga empat anak dan isteri, serta ibu mentua dan abang ipar yang uzur.

Bagaimanapun, baru-baru ini abang ipar dan ibu mentuanya telah meninggal dunia.

Mohd Zamdi Ali berasa bersyukur dan terharu apabila menerima kediaman yang baharu yang lebih selesa untuk dirinya serta anak-anak.

Mohd Zamdi Ali berasa bersyukur dan terharu apabila menerima kediaman yang baharu yang lebih selesa untuk dirinya serta anak-anak.

Menurutnya, sebelum ini, kediaman yang sedia ada agak uzur dan sempit.

Sementara itu, penyerahan kediaman PMR kepada penerima telah disempurnakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada majlis penyerahan kunci kepada penerima PMR di sini baru-baru ini.

Menurut Khairuddin, PMR bermatlamat meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar di mana kumpulan sasar yang dimaksudkan ini adalah golongan yang berdaftar dengan e-Kasih.

“Seramai 20 ketua isi rumah telah diluluskan untuk menerima kediaman baharu yang disalurkan oleh Pejabat Parlimen Kuala Nerus melalui Jabatan Pembangunan Negeri Terengganu.

“Sesuai dengan moto ‘Perumahan Untuk Semua’, Program PMR ini diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda