
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi positif COVID-19 apabila 3,309 kes dilaporkan menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini meningkat kepada 30,390 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, enam daripadanya merupakan kes import manakala selebihnya, 3,303 kes melibatkan penularan tempatan.
“Kes jangkitan baharu COVID-19 mencatatkan jumlah tertinggi apabila 3,309 kes dilaporkan hari ini dengan empat kematian. Jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia pula meningkat kepada 141,533 kes,” katanya dalam Twitter rasmi beliau semalam.
Angka tertinggi kes harian COVID-19 sebelum ini adalah 3,027 kes yang dicatatkan pada 7 Jan 2021.
Bagi kes penularan tempatan, beliau memaklumkan 2,461 kes melibatkan warga tempatan dan 842 kes bukan warganegara.
Sementara itu, lebih 50 peratus kes baharu dilaporkan di tiga negeri yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 12.01 tengah malam ini iaitu Selangor yang mencatatkan 1,007 kes (30.4 peratus), Johor (442 kes – 13.4 peratus) dan Sabah (409 kes – 12.4 peratus).
Menerusi kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata di Selangor, sebanyak 825 kes dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.
“Sebanyak 439 kes (13.3 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan iaitu 192 kes, Kluster Tembok Choh (162 kes), Kluster Tembok Mempaga (70 kes), Kluster Tembok Gajah (tujuh kes), Kluster Pagar Siput (tiga kes), Kluster Telok Mas (tiga kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (dua kes),” katanya.
Sehingga kini, terdapat 190 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 83 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, katanya.
Malaysia turut merekodkan 1,469 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya sebanyak 110,584 kes (78.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
— BERNAMA