
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Malaysia terus merekodkan kes kematian akibat COVID-19 lebih dua minggu berturut-turut sejak 1 Jan lepas, dengan tujuh kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini, sebanyak 601 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tujuh kes kematian terbaharu itu melibatkan tiga pesakit di Selangor, dua di Johor dan masing-masing satu kes di Kedah dan Negeri Sembilan.
“Pesakit termuda merupakan wanita warganegara berumur 32 tahun dari Selangor namun tiada perincian latar belakang penyakit disertakan, manakala pesakit tertua adalah seorang lelaki berumur 93 tahun di Kedah yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan jantung,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 3,339 kes baharu dilaporkan semalam dengan 3,324 daripadanya merupakan kes tempatan manakala bakinya kes import.
“Peningkatan kes harian itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 158,434 manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 37,782 kes,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata 2,676 kes dilaporkan pulih menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 120,051 kes atau 75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau turut memaklumkan terdapat 10 kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan enam daripadanya merupakan kluster tempat kerja serta kluster melibatkan majlis hari keluarga dan sejarah rentas negeri dari Selangor.
Dr Noor Hisham juga berkata terdapat 240 kes positif COVID-19 di Unit Rawatan Rapi dan 93 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
— BERNAMA