
Laporan/foto: Muhammad Naim (Jempol)
JEMPOL, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 117 kes postitif COVID-19 telah dicatatkan dengan 39 kes masih dirawat sehingga ke hari ini, menjadikan daerah Jempol sebagai kawasan zon jingga.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana (JKPB) Daerah Jempol Syahrul Nizam Saleh, berkata pihak berkuasa tempatan sedang menambah usaha dalam mengekang peningkatan kes positif di daerah itu.
“Kami telah memutuskan untuk hanya kes postitif yang berisiko tinggi sahaja akan ditempatkan di hospital untuk rawatan dan pemantauan manakala kes positif kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan), pesakit akan di isolasi di rumah, hotel atau pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah mengikut kesesuaian dan akan dinilai di COVID-19 Assessment Centre (CAC) di Klinik Kesihatan Bahau.
“Beberapa perkara telah diputuskan oleh jawatankuasa bagi mengekang penularan COVID-19 di daerah ini antaranya dengan mengadakan Sekatan jalan raya (SJR) tambahan, memastikan Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) meningkatkan tahap pematuhan SOP di premis perniagaan dan memohon Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bekerjasama dgn pihak PDRM untuk membuat pemantauan solat jumaat di masjid-masjid di daerah Jempol,” katanya menerusi satu kenyataan media, di sini hari ini.
Tambah Syahrul, bagi memtuskan rantaian COVID-19, JKPB Daerah Jempol telah bersetuju untuk melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas menerusi penubuhan Skuad Pasukan Petugas pematuhan dan pemantauan yang melibatkan tujuh agensi.
“Penubuhan pasukan petugas ini adalah bagi penguatkuasaan yang lebih tegas dalam memastikan SOP dipatuhi,” katanya.
“Orang ramai boleh merujuk kepada soalan-soalan lazim (FAQ) berkaitan yang telah dikeluarkan oleh PDRM di akaun Facebook PDRM serta boleh melaporkan ketidakpatuhan SOP kepada pihak PDRM di talian 06-4583449,” katanya.
-AK