
Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/Ferdaus Nordin (Jempol)
JEMPOL, 26 Januari (Malaysiaaktif) – Penyusunan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak mengenepikan pembangunan ekonomi, memberi impak positif dalam kalangan peniaga di Pasar Tani Pekan Batu Kikir.
Menurut salah seorang peniaga Noriah Zaimad, 66, beliau berasa lega dan bersyukur kerana dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.
“Berbeza dengan PKP sebelum ini, para peniaga tidak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan, walaupun jumlah pembeli berkurangan namun kami rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membenarkan para peniaga berniaga seperti biasa walaupun perlu mematuhi SOP yang ketat,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Pendapat yang sama turut dikongsi oleh Lim Ah Siow, 51, kebenaran yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada para peniaga ini amat baik dan dinantikan oleh golongan peniaga kecil.
“Kelonggaran yang diberikan membolehkan kami yang sememangnya bergantung daripada hasil perniagaan untuk terus mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan seharian, berbanding sebelum ini pendapatan tidak dapat dicari malah menghadapi masalah kewangan,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Hasnah Ahmad, 61, menzahirkan rasa syukur dengan adanya pasar tani tersebut.
“Di Pekan Batu Kikir ini, pilihan kedai adalah amat terhad dan menyukarkan masyarakat untuk mendapatkan bahan mentah, jadi bila pasar tani dibuka ianya sangat memudahkan kami,” katanya ketika ditemui.
Pasar Tani Pekan Batu Kikir yang dibuka pada setiap Ahad tersebut memberi pelbagai pilihan kepada pengunjung terutamanya untuk membeli barangan basah, melalui penetapan SOP yang ketat namun memberi manfaat bukan sahaja pada peniaga malah kepada penduduk sekitar.
-AK