
Laporan/foto: Siti Yusmila Yusof/Muhammad Aiman (Sik)
SIK, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Sebuah syarikat makanan terbesar dunia yang bertapak di negara ini, baru-baru ini telah memperkenalkan produk terbaharu mereka yang dikenali sebagai “Kopi Kedah” di mana ladang kopi ini diusahakan penduduk tempatan sejak sembilan tahun lalu.
Che Nai Hassan, 65, mengusahakan ladang berkeluasan tujuh relung dan mempunyai 2000 pokok kopi jenis Robusta di Kampung Bandar Hilir, di sini.
“Ladang kopi ini telah diusahakan sejak sembilan tahun yang lalu di mana sebelum ini biji kopi dari ladang ini dijual kepada pengusaha-pengusaha kopi di pasaran tempatan sahaja.
“Sejak dua tahun lepas, biji kopi ini telah mula dijual kepada syarikat tersebut,” katanya ketika ditemui di ladang kopi miliknya, baru-baru ini.
Che Nai atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lang Che Nai turut mempunyai 10 tahun pengalaman bekerja di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Agro Biz Sdn. Bhd. yang terletak di Batu Lima, Sik di bahagian semaian.
Menurut Pak Lang Che Nai, proses penanaman dan penjagaan pokok kopi sebenarnya adalah mudah ditanam dan dijaga.
“Pokok kopi ini senang di tanam dan dijaga di mana hanya perlu memastikan baja dan air mencukupi dengan setiap empat bulan baja akan ditabur.
“Selain itu, setiap pokok perlu diteliti bimbang ada serangga perosak seperti ulat yang akan merosakan buah dan batang pokok dan selain ulat, ancaman utama pokok kopi ini adalah kelawar dan musang, di mana haiwan-haiwan ini akan memakan buah kopi yang telah masak namun tidak menjejaskan pengeluaran buah kopi,” katanya.
Menurutnya lagi, keistimewaan biji kopi Robusta ini adalah memiliki aroma yang sangat menarik berbanding biji kopi yang lain.
“Buah kopi yang telah matang akan dituai dan dimasukkan ke dalam bekas sebelum diambil oleh pihak syarikat,” kata pengusaha ladang kopi yang turut menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian ini.
-SH