
Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution/Muhammad Luqmanul Hakim (Seremban)
SEREMBAN, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Kebanyakan peniaga masih keliru dengan perniagaan ‘perkhidmatan perlu’ yang dibenarkan beroperasi sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Nilai Mohd Fami, berdasarkan operasi bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di daerah sini, masih ada perniagaan termasuk sektor perkhidmatan tidak penting beroperasi.
“Secara keseluruhan, kebanyakan orang awam mematuhi peraturan berdasarkan pemantauan di lokasi tumpuan awam, namun terdapat kekeliruan dalam kalangan peniaga mengenai jenis perniagaan yang dibenar dan yang tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Antara premis yang dibenar beroperasi adalah yang melibatkan penjualan barangan atau penyediaan perkhidmatan yang dianggap keperluan seperti premis jualan makanan, hospital dan klinik, farmasi, pasar tani, bengkel, kedai dobi, kedai cermin mata, kedai telekomunikasi, pengurup wang, stesen minyak dan pelbagai lagi,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya memberi nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan kompaun dilaksanakan.
Operasi tersebut turut melibatkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Pejabat Penerangan Daerah Seremban.
-AK