
Laporan/foto: Norhaidah Md Esa/Leazmi Leman (Port Dickson)/JBPM Port Dickson
PORT DICKSON, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Beberapa ruang di Pasar Besar Port Dickson musnah terbakar awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Port Dickson Mohd Hairul Izam Mazelan, berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.26 pagi dan bergegas ke tempat kejadian yang terletak kir-kira 600 meter daripada balainya.
“Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira pukul 3.37 pagi iaitu 10 minit selepas pasukan kami sampai di tempat kejadian.
“Ruang yang musnah akibat kebakaran itu melibatkan lima penyewa yang menjalankan perniagaan gerai sayur-sayuran dan gerai bunga,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Tambah Hairul, premis bangunan pasar dua tingkat itu mengalami kebakaran di bahagian bawah kira-kira 30 peratus dan tiada mangsa yang terlibat.
“Punca kebakaran akan disiasat dan pihak Bomba akan mengumpul maklumat daripada televisyen litar tertutup (CCTV) serta keterangan saksi di tempat kejadian,” katanya lagi.
-AK