Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Polis Tampin Tubuh Pasukan Pematuhan Pantau SOP PKP

By 31 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noraini Mohd Nasir/Nur Syafiq Kamaruzzaman (Tampin)

TAMPIN, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh Negeri Sembilan bermula 22 Januari lalu, pihak Polis Daerah Tampin telah menubuhkan Pasukan Pematuhan bagi memantau semua premis perniagaan dan penduduk Tampin.

Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Tampin ASP Mohd Rezal Arifin, berkata pasukan tersebut akan menjalankan pemantauan 24 jam ke atas semua premis perniagaan dan lokasi tumpuan orang ramai.

‘‘Inisiatif ini diwujudkan bagi memastikan semua penduduk daerah ini patuh kepada arahan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dalam masa yang sama kita semua dapat bersama-sama mencegah COVID-19 di daerah ini,” katanya ketika mengadakan pemantauan di sekitar daerah sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, perkara utama yang akan dipantau adalah setiap premis yang beroperasi perlu menyediakan kod QR atau buku log bagi merekod data pelanggan yang mengunjungi premis mereka, seterusnya alat pengimbas suhu badan serta pembasmi kuman tangan.

Dalam pada itu, untuk memantau kemasukan kenderaan yang merentas daerah dan negeri, tiga lokasi sekatan jalan raya (SJR) telah dibuka terutamanya di setiap sempadan daerah dan negeri.

‘‘Tiga buah lokasi SJR telah dibuka di setiap sempadan daerah Tampin, antaranya adalah sempadan daerah Rembau – Tampin, sempadan Gemencheh – Melaka dan juga sempadan Gemas – Johor.

“Kesemua SJR ini diadakan bagi menyekat lambakan kemasukan kenderaan luar ke daerah ini dan dalam masa yang sama memastikan pergerakan keluar atau masuk daerah dan negeri lebih dikawal,” jelasnya.

-AK

Tinggalkan komen anda