Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

PIK Senaling Bantu Pembelajaran Dalam Talian

By 31 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Pusat Internet Komuniti (PIK) Senaling, mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan membantu para pelajar dan mahasiswa yang mengalami masalah mengikuti kelas atas talian.

Menurut Pengurus PIK Senaling Nur Hamizah Mohidin, bantuan yang diberikan bukan hanya terhad kepada penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sahaja malah memberi tunjuk ajar kepada para pelajar dan mahasiswa untuk memahami keperluan subjek yang diikuti, antaranya kaedah mencari maklumat dengan pantas dan membantu menyusun format rujukan dengan tepat.

“Melalui perkhidmatan sebegini, ianya dapat memberi kelegaan kepada para pelajar dan mahasiswa untuk menjalani pengajian dalam talian terutamanya semasa pandemik COVID-19 ini.

“Pada masa yang sama juga, kemudahan sebegini dapat membantu para ibu bapa dan penjaga mengatasi kekurangan masalah peralatan ICT di rumah,” katanya ketika ditemui di pusat tersebut, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Penolong Pengurus PIK Senaling Nurul Syarfazraida Ibrahim, berpendapat bahawa perkhidmatan yang disediakan oleh PIK semakin mendapat perhatian masyarakat setempat termasuk yang luar dari kawasan Senaling.

“Kehadiran pelajar dan mahasiswa bukan sahaja terhad kepada penggunaan komputer malah turut melibatkan perkhidmatan cetakan, menjilid tugasan dan mengimbas nota-nota pembelajaran yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengguna PIK yang ditemui Nur Batrisya Nur Jazlan, 16, meluahkan perasaan gembira kerana dapat menjalani pembelajaran dalam talian dengan lancar walaupun tidak mempunyai kemudahan internet di rumah.

“Melalui PIK, para pelajar dapat menjalani pembelajaran dalam talian mereka sepanjang masa selain berpeluang menggunakan kemudahan- kemudahan yang lain.

“Malahan pihak pengurusan sentiasa bersedia membantu para pelajar dengan mengadakan latihan untuk memahami dan mendalami ilmu ICT,” katanya.

Manakala Siti Adila Abdullah, 18, memberitahu isu ketiadaan atau kekurangan peralatan ICT dan internet di rumah dapat diatasi kerana PIK mempunyai bilangan komputer yang mencukupi dan akses internet yang laju dan stabil.

“Kesudian pihak pengurusan PIK untuk membantu para pelajar terutamanya dalam membantu pelajar memahami keperluan tugasan merupakan satu nilai tambah kepada perkhidmatan yang sedia ada,” katanya.

-AK

Tinggalkan komen anda