Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

MyFood@Wilayah Santuni Lebih 1600 Warga Labuan

By 2 Februari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian(Labuan)

LABUAN, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Program MyFood@Wilayah menyantuni lebih 1600 warga Wilayah Persekutuan Labuan melalui pemberian sumbangan beras percuma.

Menurut kenyataan oleh Perbadanan Labuan (PL), Program MyFood@Wilayah yang diletakkan di bawah Cakna Kemiskinan itu selaras dengan dasar Wilayah Prihatin yang diilhamkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan, Program MyBeras@Wilayah diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif tambahan daripada program tersebut.

“Sebanyak 150 unit MyFood@Wilayah dan MyBeras@Wilayah telah diagihkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman, secara pandu lalu untuk fasa pertama kepada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan bertempat di Wisma Perbadanan Labuan, semalam.

“Manakala pihak Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan mengedar bantuan seterusnya untuk rakyat melalui MPPWP, tiga kali seminggu iaitu pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat sepanjang bulan Februari 2021, walau bagaimanapun tempoh agihan sumbangan ini akan dilanjutkan sehingga Jun 2021 sekiranya mendapat lebih banyak sumbangan dari orang ramai dan badan korporat,” menurut kenyataan tersebut.

Rakyat boleh memohon sumbangan melalui kupon yang boleh diperolehi daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) zon masing-masing seperti yang tertera di laman web: https://www.yayasanwp.org/myberas dan kupon yang berlainan warna serta tempoh sah laku yang berbeza akan dikeluarkan setiap minggu bagi tujuan mengekang masalah lambakan bekalan beras, dan bagi mengelak masalah kesesakan untuk rakyat mendapatkan sumbangan ini pada satu-satu masa.

Pengerusi MPPWP Labuan Dzulfaizal Ab Manan (tengah) menyerahkan MyBeras@Wilayah kepada salah seorang Pengerusi MPPWP Sub Zon.

Pengerusi MPPWP Labuan Dzulfaizal Ab Manan (tengah) menyerahkan MyBeras@Wilayah kepada salah seorang Pengerusi MPPWP Sub Zon.

Menurut kenyataan itu lagi, PL sebagai rakan strategik YWP yang menguruskan pengedaran beras secara terus kepada rakyat itu turut mengalu-alukan orang ramai, syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) serta badan korporat yang mahu memberi sumbangan wang atau sumbangan beras beserta sumbangan barangan keperluan (makanan kering) boleh melakukannya melalui “Portal Penyumbang MyBeras/MyFood” iaitu di http://yayasanwp.org.my/myberas-penyumbang.

“Melalui portal ini juga, sumbangan wang boleh dibuat secara perbankan dalam talian atau potongan kad debit/kad kredit.

“Setiap sumbangan wang akan diberi resit pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, menurut Dr. Fary Akmal Osman yang ditemui semalam, pihaknya telah menerima 2000 bakul makanan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan berharap inisiatif itu akan memberi manfaat kepada warga Labuan yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau turut mengajak semua warga Labuan untuk sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 (SHWP) dengan menyertai program-program SHWP yang diadakan secara maya di platform media sosial masing-masing dengan pendekatan norma baharu.

-SH

Tinggalkan komen anda