
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS
SHAH ALAM, 3 Feb (Malaysiaaktif) – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menemukan tapak pembuangan haram sisa bahan kimia yang berpotensi mencemarkan Sungai Langat berhampiran Taman Seri Reko, Kajang semalam.
LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan MPKj telah menemukan 13 tong besar dan enam tong kecil berisi cecair bahan kimia.
“Siasatan lanjut mendapati cecair bahan buangan terjadual yang terkandung dalam tong besar mengeluarkan bau seakan pelarut (solvent), manakala cecair kimia dalam tongkecil berbau seakan penipis cat (thinner).
“Jarak lokasi tersebut terletak 13 kilometer (km) dari ke muka sauk loji rawatan air (LRA) Loji Semenyih 2 dan 24 km dari LRA Bukit Tampoi.
“Bahan buangan terjadual ini sepatutnya dilupuskan di kawasan ditetapkan selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” memetik kenyataan itu.

Tong- tong yang mengandungi sisa bahan kimia yang dibuang berhampiran Sungai Langat semalam sedang diperiksa.
Kenyataan sama menyebut, siasatan LUAS di tebing sungai mendapati tiada tumpahan bahan sisa kimia masuk ke Sungai Langat yang jaraknya hanya 10 meter.
“Pemantauan rapi LUAS di bahagian hilir lokasi tapak premis mendapati tiada kesan bau ‘solvent’ di Sungai Langat dan tiada henti tugas LRA serta gangguan bekalan air dilaporkan.
“LUAS menyeru semua pihak agar prihatin dan laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan yang berpotensi menyumbang pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan,” katanya.
-NAZ