
Laporan/foto: Zurina Saad (Yan)
YAN, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Tertekan dengan pendemik COVID-19 telah memaksa sebahagian kakitangan sebuah resort di sini untuk menjalankan perniagaan menu-menu hotel di gerai Majlis Daerah Yan (MDY), Pekan Guar Chempedak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menurut Chef Pastry Mohd Najmi Derifaee, 34, idea ini muncul setelah menyaksikan rakan-rakannya kekurangan sumber pendapatan kerana terpaksa bekerja bergilir-gilir dan ada juga yang diberi cuti tanpa gaji.
“Bertitik tolak daripada itu, saya dan rakan-rakan bersepakat untuk mengajukan idea tersebut kepada pihak atasan dan apa yang mengembirakan, idea untuk berniaga di jalanan telah disambut baik oleh pihak majikan.
“Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu usaha murni demi kelangsungan hidup dalam cabaran mengekang pandemik yang berlaku hari ini yang memberi kesan kepada ekonomi seperti industri perhotelan dan juga pelancongan selain menyebabkan kehilangan pekerjaan,” katanya ketika ditemui di gerai jualan mereka, di sini baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai asal usul perkataan ‘dari kayangan’, beliau berkata ianya merujuk kepada resort tersebut yang terletak di puncak Gunung Jerai seolah-olah di atas kayangan.
“Antara menu menarik yang disediakan di gerai adalah mi rebus, mi kari, kari kambing, kari ayam, daging dendeng serta aneka jenis tart dan kek, selain minuman dari buah-buahan segar yang turut dijual di sini.
“Namun pengunjung jangan merasa bimbang dengan harga menu-menu ini kerana harganya jauh lebih rendah iaitu separuh daripada harga hotel,” katanya lagi.
Salah seorang pelanggan Fauziah Ahmad, 60, berkata beliau merupakan pelanggan tetap gerai tersebut dan beliau sekeluarga amat menggemari mi rebus dan daging dendeng.
“Rasa serta resepi masakan tersebut sangat enak dan menepati cita rasa serta mendapati menu-menu ini dijual dengan harga yang jauh lebih rendah dari hotel akan tetapi rasanya setanding dengan hotel-hotel ternama yang pernah saya kunjungi,” katanya.
-SH