
Foto: RTM
PUTRAJAYA, 29 Mac (Malaysiaaktif) –Kaedah atau pendekatan terbaik bagi menangani penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti adalah dengan memastikan komuniti itu sendiri meningkatkan usaha dalam memainkan peranan sebagai ‘frontliner’ atau pejuang barisan hadapan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sehingga vaksin COVID-19 dapat mencapai sasaran ditetapkan, negara masih mengharungi suatu tempoh yang sukar dalam memerangi wabak itu kerana bilangan kes masih tinggi walaupun kes positif baharu kini semakin menurun.
Beliau berkata usaha mengekang penularan wabak COVID-19 tidak akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya tidak didukung oleh setiap lapisan masyarakat.
“Justeru program Pemerkasaan Komuniti ini adalah senjata yang kita ada dalam usaha untuk bersama-sama membendung penularan virus COVID-19 ini.
“Usaha ini juga selaras dengan strategi dalam Dasar Perpaduan Negara untuk memperkasakan institusi keluarga dan komuniti yang telah saya lancarkan pada 15 Februari lalu,” katanya dalam ucapan sempena Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, RTM hari ini.
–BERNAMA