Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Generasi Muda Perlu Bangkit Tuntut Ilmu, Lahirkan Modal Insan Berkualiti Tinggi

By 11 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 11 April (Malaysiaaktif) – Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Perlis 2021 anjuran Jabatan Penerangan ini dilihat membuka peluang kepada peserta untuk mengetengahkan bakat pidato.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, generasi muda perlu bangkit bersama dalam menuntut ilmu kerana knowledge is power.

“Rajin-rajinlah menghadiri program ilmu kerana ilmu pengetahuan itu sangat berharga dan mampu melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi.

“Saya juga berharap generasi muda dapat menggunakan media sosial dengan penuh etika dan nilai-nilai murni serta tidak menyebarkan berita-berita yang tidak sahih dan sentiasalah membuat semakan menerusi laman sesawang https://sebenarnya.my/,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Perlis 2021 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis (Pendidikan) Roziena Ahmad berkata penganjuran pertandingan seumpama ini merupakan salah satu medium terbaik dalam membina pemikiran, jiwa dan jati diri rakyat yang cerdas akalnya.

“Generasi muda yang bakal menjadi peneraju masa depan negara, perlu dilengkapi dengan segala aspek ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana ilmu itu tanpa amal tidak akan memberi sebarang manfaat.

“Berikutan pandemik yang melanda negara terdapat lambakan maklumat dan ledakan digital yang tidak terkawal terutama informasi dalam bentuk digital yang dilihat sebagai ilmu baharu yang perlu dinilai sebelum diterima dan di tular ke laman media sosial,” ujarnya.

Tambah beliau, peningkatan pengguna digital terutama di laman media sosial juga mampu mewujudkan pelbagai impak dan kesan yang berbeza kepada masyarakat sama ada ke arah yang lebih positif atau sebaliknya.

“Zaman ini maklumat dicari dan disebarkan hanya di hujung jari sahaja yang mana sebagai pengguna kita perlu berhati-hati dan tidak boleh terus mempercayai maklumat diterima tanpa sebarang pemeriksaan terhadap kesahihannya.

“Kemahiran menapis maklumat amat penting agar kita tidak mudah tertipu dengan apa yang disebarkan menerusi media sosial, yang belum diketahui kebenaran dan kredibiliti sumbernya,” ujarnya lagi.

-NI-

Tinggalkan komen anda