
Oleh Ahmad Shariff (Klang)
KLANG, 9 Dis (Malaysiaaktif) — Dalam usaha mempromosikan daerah Klang, 2017 akan diwartakan sebagai Tahun Melawat Klang.
Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz inisiatif tersebut diambil memandangkan daerah Klang mempunyai rentetan sejarah tersendiri.
Katanya lagi, sehubungan itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu lebih giat mempromosikan pelbagai produk sedia ada, termasuk tarikan makanan tempatan yang popular di daerah ini, iaitu Muara Ikan Bakar di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran Aplikasi Telefon Pintar Discover Selangor di ruang lobi Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.
Mohamed Nazri turut mencadangkan MPK menaik taraf kawasan bersejarah di antara Kota Raja Mahadi dan Gedung Raja Abdullah sebagai simbol pelancongan setempat. Ini kerana ia memperagakan warisan 1Malaysia berdasarkan pelbagai warisan berlainan kaum yang terdapat di situ.
Turut hadir pada majlis tersebut Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.