
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 25 April (Malaysiaaktif) – AMS Trust Company Limited dan AMS properties Limited meneruskan tradisi syarikat itu membantu golongan yang kurang berkemampuan di pulau ini menerusi Ziarah Kasih Ramadan 2021.
Menurut pengerusinya Azizan Mohd Som, program yang bertujuan membantu mereka yang kurang bernasib baik itu dilaksanakan setiap tahun sejak tahun 2013.
“Tahun ini enam keluarga di Labuan dipilih untuk menerima sumbangan sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba, program sama turut diadakan di Kota Kinabalu dan Negeri Sembilan dengan memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar tahfiz di sana.

Bashir (berdiri dua dari kanan), Azizan (paling kanan) bergambar kenangan bersama seorang penerima yang menghidapi penyakit saraf.
“Kita mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memilih penerima sumbangan tahun ini selain mendapat maklumat daripada kakitangan kami sendiri yang kebanyakannya warga tempatan.
“Peruntukan untuk program ini juga ditingkatkan berbanding tahun lepas di mana kami menyumbangkan bahan-bahan makanan serta wang tunai selain menyampaikan zakat orang-orang perseorangan,” katanya semasa ditemui pada program itu di Kampung Gersik, di sini semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias mengucapkan tahniah kepada syarikat tersebut atas inisiatif menghulurkan bantuan kepada warga tempatan yang memerlukan.
“Diharap pada masa akan datang lebih banyak syarikat-syarikat korporat tampil ke hadapan menjalankan tanggungjawab sosial korporat membantu masyarakat di Labuan yang banyak terjejas dengan pandemik COVID-19,” jelasnya yang turut serta dalam penyampaian tersebut.
Selain itu Bashir turut berharap agar dasar yang diputuskan pentadbiran kerajaan terdahulu mengenai cukai yang dikenakan kepada syarikat luar pesisir di Labuan dapat dikaji semula.
“Cukai yang dikenakan menyebabkan ada syarikat yang menutup operasi mereka dan berpindah ke tempat lain, ini kerugian buat kita kerana dengan adanya syarikat-syarikat luar pesisir ini banyak mendatangkan pendapatan kepada negara.
“Saya difahamkan sebelum ini lebih setengah bilion setahun diperolehi daripada syarikat luar pesisir dan kini menjadi berkurangan,” tegasnya.
Sehubungan itu beliau berharap agar Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri dapat mengkaji semula dasar tersebut untuk diubah atau sekurang-kurangnya sama seperti sebelumnya.
-RI