Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Bubur Lambuk Kembalikan Semangat Gotong-Royong di Mukim Sungai Tiram

By 27 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 27 April (Malaysiaaktif) – Bulan Ramadan pada tahun lepas disambut oleh umat Islam di negara ini dalam suasana suram susulan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang sebarang penganjuran aktiviti luar, namun pada tahun ini ia dapat dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurut Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon, aktiviti memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai merupakan satu amalan mulia yang perlu diteruskan di mana ia melambangkan tanda persepakatan antara kaum yang sentiasa hidup dalam suasana yang harmoni.

“Walaupun berbangsa Cina, saya sangat memahami dan menyukai aktiviti memasak dan mengedarkan bubur lambuk yang merupakan juadah tradisi umat Islam di negara ini setiap kali tiba bulan Ramadan.

“Sebagai pemimpin tempatan, saya sentiasa menyokong aktiviti gotong-royong seumpama ini dan bersedia untuk menghulurkan bantuan jika diperlukan,” katanya ketika ditemui pada Program Bubur Lambuk Perdana Mukim Sungai Tiram, baru-baru ini.

Penghulu Mukim Sungai Tiram Mohd Afiff Mohd Adzhar berkata beliau sangat teruja untuk melaksanakan program bubur lambuk bersama ketua-ketua kampung dan masyarakat di sini apabila negeri ini kembali dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Program kali ini merupakan kerajasama dan sumbangan dari ketua-ketua kampung, Kelab Belia Sungai Tiram, Gerakan Belia 4B Sungai Tiram dan Pejabat Ahli Parlimen Tebrau.

“Sebanyak 1,400 pek bubur lambuk diedarkan kepada orang ramai dan agensi-agensi di mukim ini,” ujarnya.

Pada program tersebut, unit hebahan bergerak Info On Wheels (IoW) Pejabat Penerangan Daerah Johor Bahru turut dijemput bagi melaksanakan hebahan pematuhan SOP aktiviti di bulan Ramadan yang perlu dipatuhi oleh masyarakat setempat.

Turut hadir, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang Fauzi Faizal.

-NI-

Tinggalkan komen anda