
Laporan/foto: Fasharina Kholil/Sriti As Safwah (Sik)
SIK, 30 April (Malaysiaaktif) – Seramai 28 orang pelajar Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) As Safwah terlibat di dalam majlis khatam dan tadarus Al-Quran sempena sambutan Nuzul al-Quran di Sriti As Safwah, Kampung Begia, di sini semalam.
Menurut Guru Besar SRITI As Safwah, Subki Zakaria, berikutan negeri Kedah masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sambutan Nuzul al-Quran juga agak berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Namun, ianya bukan alasan untuk tidak meraikan sambutan itu, sebaliknya ia diraikan dengan norma baharu dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan wajib dipatuhi agar dapat mencegah penularan COVID-19,” katanya lagi ketika dihubungi di sini semalam.
Jelasnya lagi, program tadarus itu merupakan salah satu cara bagi mengimarahkan sekali gus menghayati kemuliaan bulan Ramadan serta dapat memberi pengisian rohani kepada para pelajar selain menggalakkan pemahaman lebih mendalam mengenai isi kandungan al-Quran.
“Semoga anak-anak pelajar SRITI As-Safwah akan sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai rakan karib sepanjang hayat dan mendapat syafaat Al-Quran di akhirat kelak,” ujarnya lagi ketika ditemui di majlis tersebut.
Para pelajar juga melaksanakan bacaan Tahlil kepada seluruh arwah muslimin dan muslimat yang dipimpin oleh Guru Besar SRITI As-Safwah, Ust Subki Zakaria.
Nuzul Al-Quran disambut pada 17 Ramadan mengikut kalendar Hijrah dan kebiasaannya umat Islam akan berkumpul mengadakan majlis khatam serta tadarus membaca ayat suci al-Quran beramai-ramai sempena memperingati peristiwa agung turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad.
~RJ~