Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tahanan Lari dari Hospital Selayang Ditangkap Semula

By 18 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 18 Mei (Malaysiaaktif) — Seorang tahanan polis yang melarikan diri dari wad Hospital Selayang, berjaya ditangkap semula dalam kejadian semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian berlaku pukul 1.00 tengah hari ketika dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh ditugaskan menjaga tahanan berkenaan.

“Ketika sedang memantau, anggota polis berkenaan nampak tahanan itu sedang berbaring dan mengalih kedudukan secara duduk di atas katil sambil tangan kiri dalam keadaan bergari di bahagian kepala katil.

“Secara tiba-tiba tahanan tersebut terus melompat daripada katil dan berlari ke arah luar hospital dalam keadaan tangan kiri masih bergari.

“Pada masa itu anggota polis bertugas telah nampak besi kepala katil telah tercabut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dua anggota polis itu terus bertindak mengejar tahanan tersebut dan berjaya ditangkap semula di kawasan Selayang Capitol yang jaraknya lebih kurang 120 meter dari wad.

“Semasa proses tangkapan, telah berlaku sedikit pergelutan dan seorang anggota mengalami kecederaan ringan.

“Hasil siasatan mendapati, tahanan tersebut dimasukkan ke Hospital Selayang pada 16 Mei untuk rawatan penyakit sawan.

“Tahanan itu berumur 39 tahun telah ditangkap bersabit satu kes rogol di IPD Sungai Buloh dan ditahan reman selama tujuh hari,” katanya.

Menurut Arifai, susulan itu pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah
Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca kejadian.

-RI

Tinggalkan komen anda