Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KASA Minta Pemilik Tangki Septik Lakukan Nyahenap Cemar Berjadual

By 18 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 18 Mei (Malaysiaaktif) –Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meminta pemilik, penghuni serta badan pengurusan premis yang bersambung dengan tangki septik atau premis yang mempunyai tangki septik agar melakukan nyahenap cemar secara berjadual.

Menurut kenyataan KASA hari ini, langkah itu selaras dengan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 yang dikuatkuasakan pada 30 Mac lepas, bertujuan mengurangkan risiko pencemaran sumber air.

Sehubungan itu, notis pemberitahuan untuk melakukan kerja nyahenap cemar tersebut akan dikeluarkan secara berperingkat kepada semua pemilik premis bermula 1 Jun ini, dan kerja berkenaan akan dilakukan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), kata KASA.

Menurut KASA, terdapat kira-kira 1.3 juta premis di Malaysia yang masih menggunakan tangki septik dan 90 peratus daripada pemilik premis terbabit tidak menyelenggarakan dan mengosongkan tangki septik secara berkala.

“Tindakan ini menyebabkan berlaku pencemaran ke atas sumber air. Penyelenggaraan atau nyahenap cemar secara berjadual amat penting bagi melindungi masyarakat daripada terdedah kepada penyakit bawaan air seperti taun, hepatitis dan sebagainya,” kata kementerian itu.

KASA berkata pemilik tangki septik juga boleh mendapatkan perkhidmatan nyahenap cemar daripada IWK di luar penjadualan sekiranya tangki septik memerlukan pengosongan yang lebih cepat daripada tarikh penjadualan asal.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021” ini, pemilik premis boleh menghubungi IWK menerusi talian 03-2780 1100, memuat turun apllikasi mudah alih IWK di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery atau melayari laman web www.iwk.com.my.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda