Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Maklumkan MPP Jika Tidak Mampu Hadir ke PPV – Dzulfaizal

By 18 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Warga Labuan diseru untuk memaklumkan kepada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) atau Ketua Kampung jika ada penduduk kampung seperti pesakit terlantar yang tidak mampu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menurut Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan, maklumat tersebut akan disampaikan kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut.

“MPP akan menyenaraikan warga kampung yang tidak mampu hadir ke PPV seperi pesakit yang terlantar dan menyerahkannya kepada Jabatan Kesihatan untuk mereka mengatur satu pasukan yang akan memberikan vaksin dari rumah ke rumah.

Para petugas sedang mendaftarkan para penerima vaksin yang hadir.

Para petugas sedang mendaftarkan para penerima vaksin yang hadir.

“Usaha untuk menyediakan kemudahan pengangkutan bagi penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri juga sedang dipertimbangkan kerana kita masih meneliti keperluan mengikuti SOP yang ditetapkan Jabatan Kesihatan,” katanya semasa ditemui di PPV Kolej Matrikulasi Labuan (KML), pagi tadi.

Mengulas mengenai peranan MPPWP Zon Labuan di PPV KML, beliau menyatakan MPPWP berperanan menyelaras penerima-penerima vaksin COVID-19 dos pertama dalam kalangan warga kampung yang berhampiran.

“MPP mengutamakan para penduduk dari empat buah kampung berhampiran iaitu Kampung Ganggarak, Kampung Pohon Batu, Kampung Batu Manikar dan Kampung Lubok Temiang dan pada hari ini sahaja kita sasarkan seramai 1000 orang akan menerima vaksin dari pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang.

Antara penduduk kampung yang hadir seawal pukul 8.00 pagi.

Antara penduduk kampung yang hadir seawal pukul 8.00 pagi.

“Kita juga menyelaras masa kehadiran para penerima vaksin kerana ingin mengelakkan kesesakan yang tidak terkawal agar mengurangkan risiko berlakunya jangkitan semasa hadir ke PPV.

“Kita akan meneruskan pendaftaran bagi kampung-kampung berhampiran selepas ini seperti Kampung Lajau, Kampung Tanjung Aru dan Kampung Bukit Kuda dan kita harap penduduk kampung boleh mendaftarkan diri dengan ketua-ketua kampung untuk memudahkan kami mengumpul senarai penerima vaksin,” jelasnya lagi.

Tambahnya, MPPWP Zon Labuan sentiasa bersedia jika pihak Jabatan Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan memerlukan bantuan bagi menyelaras penerima vaksin di PPV yang lain dan berterima kasih atas kerjasama semua masyarakat yang memberi kerjasama melancarkan pengurusan PPV di KML.

Warga Labuan yang gembira selepas selesai menerima vaksin COVID-19.

Warga Labuan yang gembira selepas selesai menerima vaksin COVID-19.

-RI

Tinggalkan komen anda