Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

MOVAK mudahkan Kaum Kanaq Terima Vaksin

By 26 Jun 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Norasilah Ibrahim (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 26 Jun ( Malaysiaaktif) – Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Program ini merupakan antara langkah yang diambil bagi mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada masyarakat di mana pihak kementerian telah menyediakan sebuah bas yang diubahsuai menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bas S & S International Datuk Dr. Suchdav Jotisroop, syarikatnya berkolaborasi bersama Pejabat Menteri Perpaduan Negara bagi menyediakan kemudahan bas ekspres yang diubahsuai bagi menjayakan program khidmat bantuan ini.

“Kami perlu membantu kerajaan untuk mencapai sasaran pemberian vaksin kepada orang awam terutama melibatkan penduduk di kawasan pedalaman.

“Pihak kerajaan menyediakan fasiliti seperti PPV Bergerak bagi memudahkan orang awam untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya ketika ditemui pada Program Mobilisasi Vaksin Komuniti di Kampung Orang Asli Sungai Selangi Kota Tinggi, di sini semalam.

Tambah beliau, pihaknya juga perlu memastikan keadaan di dalam bas dalam keadaan bersih sepanjang masa bagi kemudahan para petugas kesihatan dan penerima vaksin.

“Kelengkapan yang terdapat dalam bas juga adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan peralatan yang digunakan perlu disanitasi selepas digunakan.

Norlina Awok (tengah) berterima kasih kepada kerajaan kerana membawa Program MOVAK ini ke kampungnya.

Norlina Awok (tengah) berterima kasih kepada kerajaan kerana membawa Program MOVAK ini ke kampungnya.

“Selepas ini, Jelajah MOVAK akan diteruskan ke Felda Air Tawar2, Felda Bukit Waha dan Kampung Tuan Seh yang berada di dalam daerah Kota Tinggi bagi melancarkan lagi proses pemberian vaksin di kawasan tersebut,” ujarnya.

Salah seorang penerima vaksin yang ditemui, Norlina Awok, 38, berkata pada permulaannya beliau berasa takut untuk menerima suntikan vaksin ini.

“Pada mulanya saya memang agak takut, namun apabila memikirkan ianya mampu melindungi saya dan keluarga dari virus COVID-19, saya dan suami tampil dengan rela hati mendaftar untuk menerima suntikan ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah mengadakan Program MOVAK di kampung kami yang secara tidak langsung memudahkan penduduk di sini untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,” ujarnya.

Seramai 68 orang penduduk orang asli suku kaum Kanaq di Kampung Orang Asli Sungai Selangi layak menerima suntikan vaksin ini.

Kampung Orang Asli Sungai Selangi yang menempatkan orang asli suku kaum Kanaq menjadi destinasi kedua program ini setelah dilancarkan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique di Felda Lok Heng Barat Kota Tinggi pada 19 Jun yang lalu.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Johor Faisal Long dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil.

-NI-

Tinggalkan komen anda