
Laporan/foto: Jeanne J Som/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 di Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Sabah mempermudahkan pemberian vaksin tersebut bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Pengurus Besar hospital tersebut Mohamad Faizal Mohamed, berkata pihak KPJ menyambut baik rancangan kerajaan untuk memberikan suntikan vaksin kepada 268,000 orang dalam fasa dua PICK ini.
“Suntikan vaksin diberikan secara berperingkat di mana warga emas berumur 80 tahun ke atas menerima suntikan pada hari pertama pembukaan PPV kelmarin, dan bagi 60 tahun ke atas dijadualkan pada hari ini.
“Bagi hospital ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan 100 dos vaksin jenis Pfizer setiap hari untuk penerima yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.
“Namun, terdapat kemungkinan jumlah penerima akan ditingkatkan kepada 200 orang setiap hari, bergantung kepada vaksin yang dibekalkan oleh KKM,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke PPV KPJ, di sini semalam.
Tambah beliau, vaksin yang diberikan adalah percuma dan KPJ turut mengambil inisiatif menghubungi penerima yang dijadualkan mengenai temu janji mereka.

Ajaz (kiri), Faizal (dua dari kiri) dan Lim (tiga dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama salah seorang penerima vaksin, Annah Datu Asibih.
“Namun begitu, mereka yang hadir secara jumpa terus tidak akan diberikan suntikan kerana ia terhad kepada senarai yang diberikan KKM sahaja,” katanya.
-RI